Standard Komuniti
Pengenalan
Standard ini adalah berdasarkan maklum balas daripada orang ramai dan nasihat pakar dalam bidang seperti teknologi, keselamatan awam dan hak asasi manusia. Untuk memastikan suara setiap orang didengari, kami mengambil berat usaha mewujudkan standard yang meliputi pandangan dan kepercayaan yang berbeza, khususnya orang dan komuniti yang mungkin terlepas pandang atau dipinggirkan.
Setiap hari, orang menggunakan Facebook Instagram, Messenger dan Threads untuk berkongsi pengalaman mereka, berhubung dengan rakan dan keluarga serta membina komuniti. Perkhidmatan kami membolehkan berbilion orang untuk mengungkapkan diri mereka secara bebas di seluruh negara dan budaya dalam pelbagai bahasa.
Meta menyedari kepentingan Facebook, Instagram dan Threads untuk menjadi suatu tempat orang ramai berasa yakin untuk berkomunikasi dan kami amat menitikberatkan peranan kami dalam membanteras penyalahgunaan perkhidmatan. Itulah sebabnya kami membangunkan standard untuk perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan pada perkhidmatan ini.
Harap maklum bahawa versi bahasa Inggeris Standard Komuniti memuatkan set dasar yang terkini dan mestilah digunakan sebagai dokumen utama.
Komitmen kami terhadap kebebasan bersuara
Matlamat Standard Komuniti kami adalah untuk mewujudkan wadah supaya orang ramai dapat mengekspresikan diri dan bersuara. Meta berharap orang ramai dapat bercakap secara terbuka tentang isu yang penting bagi mereka sama ada melalui komen bertulis, foto, muzik atau medium seni yang lain walaupun ada yang tidak bersetuju atau mendapati isu itu tidak boleh diterima. Dalam sesetengah kes, kami membenarkan kandungan yang bertentangan dengan standard kami – jika kandungan mempunyai nilai berita dan menyentuh kepentingan awam. Kami melakukan ini hanya selepas mengambil kira nilai kepentingan awam terhadap risiko mudarat dan kami meneliti standard hak asasi manusia antarabangsa dalam penilaian ini. Dalam kes lain, kami mungkin akan mengalih keluar kandungan yang menggunakan bahasa samar-samar atau tersirat apabila konteks tambahan membolehkan kami memahami secara munasabah bahawa kandungan itu bertentangan dengan standard kami.
Komitmen kami terhadap kebebasan bersuara amat tinggi, namun kami menyedari bahawa Internet membuka peluang baharu dan lebih meruncing ke arah penyalahgunaan. Atas sebab ini, apabila kami mengehadkan kebebasan bersuara, kami menekankan satu atau lebih nilai yang berikut:
KESAHIHAN
Kami ingin memastikan kandungan yang dilihat orang ramai adalah sahih. Kami percaya kesahihan mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk berkongsi dan itulah sebabnya kami tidak mahu orang ramai menggunakan perkhidmatan kami untuk menyalahgambarkan diri mereka atau perkara yang mereka lakukan.
KESELAMATAN
Kami komited untuk menjadikan Facebook, Instagram, Messenger dan Threads sebagai tempat yang selamat. Kami mengalih keluar kandungan yang boleh menyumbang kepada risiko bahaya kepada keselamatan fizikal orang. Kandungan yang mengancam orang berpotensi untuk menakut-nakutkan, meminggirkan atau membisukan orang lain dan ini tidak dibenarkan di perkhidmatan kami.
PRIVASI
Kami komited untuk melindungi privasi dan maklumat peribadi. Privasi memberi orang ramai kebebasan untuk menjadi diri mereka sendiri, memilih cara dan waktu untuk berkongsi di perkhidmatan kami serta berhubung dengan lebih mudah.
MARUAH
Kami percaya semua orang mempunyai maruah dan hak yang sama rata. Kami berharap orang akan menghormati maruah orang lain dan tidak mengganggu atau memperkecil-kecilkan orang lain.
Standard Komuniti
Standard Komuniti kami terpakai untuk semua orang di seluruh dunia dan pada semua jenis kandungan, termasuk kandungan janaan AI.
Setiap bahagian Standard Komuniti kami bermula dengan “Rasional Dasar” yang menetapkan matlamat dasar diikuti dengan garis dasar khusus yang menggariskan:
Kandungan yang tidak dibenarkan; dan
Kandungan yang memerlukan maklumat atau konteks tambahan untuk dikuatkuasakan, kandungan yang dibenarkan dengan skrin amaran atau kandungan yang dibenarkan tetapi hanya boleh dilihat oleh orang dewasa berumur 18 tahun ke atas.